Monday, October 29, 2007

Gelombang perubahan rakyat Kelantan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan membawa limpahan kemakmuran untuk rakyat Kelantan.

Sehubungan itu, beliau mengajak kerajaan negeri menjayakan ECER yang merupakan titik mula usaha memastikan kemajuan menyeluruh bagi rakyat dengan bekerjasama atas landasan keikhlasan tanpa mengungkit lagi soal masa lalu.

Katanya, tanpa tujuan lain, Kelantan dibawa masuk bersama negeri-negeri lain dalam program tersebut kerana ia memerlukan pemusatan tumpuan bagi membangunkan dan memajukan rakyat dalam usaha menghapuskan kemiskinan.

Menurut Abdullah, usaha ke arah membawa gelombang perubahan bagi Kelantan yang masih ketinggalan hanya akan ditentukan kejayaannya melalui penglibatan rakyat dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

‘‘Apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya Perdana Menteri bagi semua negeri termasuk Kelantan dan bagi saya tiada sebab mengapa Kelantan perlu diketepikan.

‘‘Saya tidak toleh ke belakang dan mengambil cerita-cerita dulu yang pernah berlaku. Biarlah kita pandang ke hadapan, kalau ingin bekerjasama, kita bekerjasama atas keikhlasan tanpa perlu mengungkit,’’ kata Perdana Menteri ketika melancarkan program ECER peringkat negeri Kelantan di padang Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini petang ini.

Sempena pelancaran itu, beliau menyerahkan Pelan Induk ECER kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mengumumkan beberapa inisiatif yang dikenal pasti bagi Kelantan di bawah ECER.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi pelaksanaan projek perintis agropolitan di Gua Musang.

Selain agropolitan yang merupakan projek pertanian bersepadu ECER, Abdullah turut melancarkan program PINTAR, sebuah program tanggungjawab sosial yang dicetuskan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk sekolah-sekolah luar bandar.

Di bawah ECER, Kelantan difokuskan sebagai pusat perdagangan, pembangunan sumber manusia (modal insan), di samping menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan pengeluaran berasaskan pertanian, herba serta ternakan.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan UMK di Bachok dan Jeli yang merupakan salah satu daripada empat universiti baru di Pantai Timur akan dimanfaatkan dengan menarik lebih ramai pelajar asing khususnya dari Thailand.

Bagi memanfaatkan kedudukan geografi negeri ini pula, katanya, usaha bersepadu akan diambil untuk membangunkan kawasan Pengkalan Kubor sebagai bandar sempadan yang maju dan dinamik.

‘‘Pengkalan Kubor akan dipromosikan sebagai pusat pelancongan sempadan dan pusat perdagangan yang boleh berperanan penting dalam pembangunan segi tiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT) sebagai hab perdagangan di wilayah ini.

‘‘Pembangunan Kota Bharu City Centre di Palekbang pula akan dimajukan sebagai kawasan pelancongan bandar yang kaya dengan budaya dan warisan meliputi pelaburan dalam hotel, kompleks perniagaan, pusat persidangan, pusat rekreasi dan perkampungan kraf,” ujar beliau.

Katanya, ECER akan memberi tumpuan kepada program pertanian komersial berskala besar menggunakan kontrak perladangan dengan membangunkan lembah pertanian moden.

‘‘Bagi fasa pertama di Kelantan, ia melibatkan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran di kawasan seluas 2,000 hektar di Bachok dan Pasir Puteh bagi menyokong terminal makanan nasional (Teman) di Kota Bharu.

‘‘Ia dijangka dapat meningkatkan pendapatan lebih 4,000 petani, kebanyakannya golongan miskin dan lembah pertanian yang akan dihubungkan dengan Teman serta taman Industri Halal di Pasir Mas bagi menjana sektor hiliran industri,” ujarnya.