Tuesday, November 13, 2007

ECER tiada laman web untuk dirujuk pelabur asing

Ketiadaan laman web khas bagi pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), menyebabkan projek pembangunan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhir bulan lalu itu, tidak diketahui pelabur luar negara.

Berikutan itu, ECER yang bakal melaksanakan 227 projek bernilai RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun, pada masa ini sukar menarik minat pelabur asing untuk menanam modal di sini berikutan maklumat lengkap mengenainya tidak diketahui langsung.

Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Salleh Buang, berkata berbanding pembangunan koridor Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) bagi Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, ECER dilihat agak terkebelakang dan usaha mempromosikannya perlu dilakukan dengan lebih giat.



Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ECER – Jalan Kejayaan sempena Seminar ECER – Peluang dan Cabaran anjuran Kelab Pelajar Sarjana Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (LAD) UTM Pusat Pengajian Kuantan dengan kerjasama Kerajaan Pahang, di sini petang kelmarin beliau berkata, WPI dan NCER bukan saja mempunyai laman web sendiri yang boleh diakses di seluruh dunia, malah turut menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur selain zon pembangunan yang dikhususkan bagi setiap kawasan.

"Walaupun sudah dilancarkan, tetapi sehingga sekarang tiada laman web khas untuk ECER, melainkan hanya pautan pada laman web tertentu. Bagaimanapun pelabur asing yang ada di luar negara mahu melihat prospek pembangunan yang ditawarkan ECER jika mereka tidak mengetahui kewujudannya.

"Selain itu, ECER juga belum ada pelan pembangunan yang dibuat mengikut tahun. Misalnya, apa yang mahu dicapai dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang kerana jika ada sasaran ditetapkan, kita boleh melihat hasilnya berbanding menunggu tempoh 12 tahun itu," katanya.