Perjuangan 17 tahun Barisan Nasional untuk menawan Kelantan daripada PAS hampir menampakkan hasil menjelang pilihan raya umum ke-12 nanti.
Selepas tiga tahun memimpin BN dan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata beliau yakin BN mampu membentuk kerajaan negeri dengan kelebihan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 45 kerusi itu.
Beliau yakin angin perubahan dalam politik sudah meresapi penduduk negeri itu sejak pilihan raya umum 2004 yang lepas, apabila BN menang 21 daripada 45 kerusi itu. Bilangan kerusi BN bertambah pada Disember 2005 apabila ia menang Pengkalan Pasir dalam satu pilihan raya kecil, dan ini menjadikan kedudukan sekarang : 23 PAS 22 BN.
Annuar berkata bagi mencapai matlamat membentuk kerajaan negeri yang akan datang, BN akan terus berusaha membawa pembangunan di Kelantan, dan untuk pilihan raya nanti, akan memilih calon-calon yang benar-benar berkaliber.
"Umno Kelantan menetapkan tanda aras yang tinggi kepada sesiapa yang mahu menawarkan diri menjadi wakil rakyat.
"Semua wakil rakyat BN yang akan datang, mestilah terdiri daripada mereka yang tinggi daya intelek, kali ini, 99.99 peratus bakal calon BN terdiri daripada lulusan ijazah," katanya dalam satu temubual dengan Bernama di kediamannya di sini.
Annuar berkata peluang lebih luas terbuka kepada golongan muda dan profesional yang mampu membawa misi BN dalam membangunkan Kelantan dan mengurangkan keluarga miskin tegar daripada bilangannya sekarang sekitar 19,000.
"Ini kerana rakyat Kelantan sendiri tinggi pengetahuannya. Rata-rata golongan muda lulusan universiti, ramai yang ada ijazah sarjana dan PhD.
"Jadi, wakil rakyat kita mestilah terdiri daripada mereka yang mampu membawa suara rakyat yang terpelajar dan yang tinggi tahap intelek dan ilmu pengetahuan mereka," katanya.
Bagaimanapun, menurut Annuar, tenaga lama dan pemimpin akar umbi serta wakil rakyat sedia ada yang cemerlang tetap akan dikekalkan.
Beliau berkata perubahan sokongan rakyat kepada BN sekarang sebahagian besarnya didorong faktor kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak pernah menganaktirikan Kelantan daripada semua segi, termasuk aspek pembangunan negeri itu yang masih ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain.
"Orang Kelantan tertawan dengan sikap dan pendekatan Pak Lah. Walaupun Kelantan diperintah pihak yang berlainan ideologi politik dengan kerajaan pusat, rakyat negeri ini tidak pernah diabaikan.
"Pantang ada masa, Pak Lah akan turun melawat Kelantan, melihat perkembangan projek yang dibawa ke negeri ini. Beliau sendiri sering mengakui bahawa rakyat negeri ini dekat dengan hatinya. Bagi saya ia satu penghormatan kepada orang Kelantan.
"Berbilion ringgit diperuntukkan untuk bermacam-macam projek pembangunan di Kelantan. Peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan juga bukan calang-calang," katanya.
Terbaru ialah pelancaran pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
"Ia benar-benar membuktikan keikhlasan pusat untuk memaju dan memakmurkan Kelantan seiring dengan neger-negeri lain," kata Annuar.
Beliau berkata BN dan Umno Kelantan tidak hanya berpeluk tubuh tetapi akan memastikan faktor "feel good" (rasa senang dan gembira) diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita sedar PAS menang disebabkan Umno Kelantan mengalami perpecahan. Berdasarkan sejarah, PAS juga pernah jatuh setelah mereka berpecah. Kalau PAS benar-benar kuat, tentu kerusi yang didudukinya semakin banyak. Ini bermakna Umno dan PAS ini lebih kurang sahaja kuat," katanya.
Yang penting, kata Annuar, ialah pihak mana yang mampu bangkit semula dan memperteguhkan perpaduan dalam parti yang akan mendapat kepercayaan rakyat.
"Saya gembira Umno Kelantan kini berada pada tahap terbaik. Solid (padu). Semua peringkat dari atas sampai ke bawah, kita kini benar-benar bersatu. Kita perhati, kaji di mana kelemahan yang ada, kita baiki," katanya.
Katanya, bibit perpecahan dicantas dari awal menyebabkan budaya "cah keting" iaitu saling menjatuhkan sesama sendiri, yang sering berlaku dalam Umno Kelantan suatu masa dulu, telah diselesaikan.
"Dulu, perpecahan berlaku kerana pemilihan yang kerap dalam parti. Sekarang tidak lagi. Begitu juga dalam pilihan raya, pemilihan calon bukan lagi suatu masalah bagi kita," katanya.
Annuar, 51, yang mula menjadi wakil rakyat pada usia 28 tahun, berkata beliau telah menyiapkan senarai calon BN bagi pilihan raya yang akan datang dan akan diserahkan kepada Abdullah selaku pengerusi BN dan Presiden Umno untuk dinilai.
"Kali ini kita bariskan calon yang dimahukan rakyat. Juga tidak akan ada calon mengejut, tukar calon di saat akhir dan sebagainya yang boleh merosakkan parti.
"Semua masalah dalaman parti telah kita selesaikan, kalau ada pun, tiada yang tidak dapat kita tangani. Umno Kelantan kini semakin kental. Jentera pilihan raya juga sudah lama bersedia, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, kita bergerak.
"Kalau boleh, biar pilihan raya umum ini dipercepatkan. Kita di Kelantan sudah bersedia dan rakyat bersedia bersama kita," katanya.