Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008 mengikut kuasanya yang termaktub dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
Lantas, majoriti rakyat jelata pun terus memfokus perhatian kepada PRU12 yang boleh dijalankan pada bila-bila masa dalam tempoh 60 hari mulai tarikh pembubarannya.
Hanya segelintir sahaja yang mungkin dibelenggu pertanyaan sama ada setelah pembubaran di atas, Agong wajar melantik satu team kerajaan sementara di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri yang juga sementara kuasa-kuasanya.
Hakikatnya sedemikian kerana rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan amalan convention di mana Perdana Menteri dan kabinetnya yang berkuasa sebelum parlimen dibubarkan diiktiraf sebagai team yang terus bertanggungjawab mengendalikan negara secara sementara setelah parlimen dibubarkan.
Hakikatnya juga begitu kerana convention yang sama memang jadi amalan di majoriti negara-negara komonwel di serata dunia, melainkan di Bangladesh.
Pada waktu yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga tidak mempunyai peruntukan khusus dan jelas mengenai kerajaan sementara dan sekatan-sekatan kuasanya.
Kerajaan Sementara
Rakyat Malaysia juga tidak pernah mempertikaikan status kerajaan sementara di waktu parlimen sudah dibuarkan kerana majoritinya selesa dengan karenah serta perilaku pucuk pimpinan kerajaan yang wujud sebelum pembubaran berkenaan.
Dalam ertikata lainnya, sebelum ini memang sebilangan besar rakyat Malaysia tidak pernah berasa kecewa, tidak pernah berasa resah dan tidak pernah melahirkan kebencian mereka secara terbuka terhadap kerajaan sebelum parlimen dibubarkan.
Mereka bersikap begitu kerana mereka tidak pernah berasa tidak selamat, tidak pernah merasakan maruah dan kedaulatan negara seolah-olah digadaikan kepada kuasa asing, tidak pernah menganggap kehidupan mereka amat dihempet dan dihambat oleh kos sara hidup yang seolah-olah di luar kawalan kerajan.
Majoriti rakyat juga tidak pernah beranggapan bahawa Perdana Menteri mereka tidak efektif, tidak pernah diganggu-gugat oleh kemaharajalelaan kroni-kroni pembesar negara ke tahap yang ekstrem, tidak pernah terfikir yang kerajaan diancam sindrom kredibiliti yang parah, tidak pernah dibingungkan dengan seribu satu kedolak-dalikan, pembohongan, penipuan dan kepura-puraan.
Pendek kata, setelah mengambil kira hakikat bahawa “manusia hanya merancang, tetapi Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya,” rakyat jelata sebelum era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang tetap yakin bahawa kerajan dan kepimpinan negara boleh terus dimandatkan memimpin kerajaan sementara sewaktu parlimen sudah dibubarkan untuk sesuatu PRU.
Era Mahathir
Hakikat dan realiti seperti di atas terutamanya wujud di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Biarpun kepimpinan Mahathir pernah berhadapan dengan seribu satu masalah, ribut dan kegawatan, majoriti rakyat tetap yakin dan selesa bila Mahathir mengepalai kerajaan sementara sewaktu sesuatu PRU dijalankan.
Ini kerana Mahathir berwawasan besar, optimis, melonjak serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, memberikan harapan dan inspirasi yang segar ke arah hari muka yang lebih berwibawa, bahagia dan sejahtera. Kepimpinan Mahathir juga tidak dibayangi pelbagai karenah dan perilaku ekstrem oleh segelintir insan rakus, angkuh dan manipulatif di sekelilingnya.
Memang ada segolongan rakyat yang membidas Mahathir secara melulu sehingga tercetus gelaran “mahafiraun” dan sebagainya. Tetapi, negativism sedemikian rupa mudah sahaja dilunturkan oleh rekod Mahathir yang diiktiraf ramai sebagai cemerlang dan membanggakan.
Biarpun begitu, walau terdapat suatu detik dalam pemerintahannya di mana Mahathir hanya menikmati popularity rating sebanyak 80 peratus, Barisan Nasional (BN) terbukti pernah tewas di peringkat negeri. Sampai hari ini pun Kelantan masih kekal dikuasai oleh PAS sejak 1990.
Berasaskan huraian yang mungkin juga digandingi retorika dan nostalgia seperti di atas, sewajarnyalah kepimpinan Abdullah menginsafi hakikat dan realiti terhadap peluang BN dalam PRU12.
Keajaiban Abdullah
Tetapi, kerana PRU12 pun hanya beberapa hari lagi akan diadakan, apakah keajaiban Abdullah untuk menjamin kecemerlangan BN kali ini serupa dengan prestinya dalam PRU11?
Slogan cemerlang, gemilang, terbilang ciptaan Abdullah kini hanya jadi gurauan rakyat. Retorika Abdullah bahawa “saya hamba no. 1 negara” sudah jadi bahan ketawa. Propaganda puitis bahawa Abdullah adalah Mr. Clean yang hanya mencari “Al-Ghazali dan Al-Shafie” kerana beliau pemimpin yang berpedomankan “rahsia kitab suci” dan berpandukan “sunnah nabi,” sudah jadi amat sukar untuk diyakini.
Saya ahli UMNO dan saya juga pendukung BN. Manusia seperti saya menghuraikan soal-soal di atas bukan kerana membenci BN atau mengkhianati UMNO. Saya jadi begini kerana saya bimbang akan sesuatu bencana yang mungkin tiba.
Berapa ramai lagikah agaknya warga siasah yang pessimis seperti saya? Dalam kebimbangan seperti ini mereka juga dilanda dilemma. Di telan mati emak, diluah mati bapak, begitulah ibaratnya.
Dalam situasi sebegini, apakah ubat kepada dilemma tersebut? Bagaimana jika sebilangan besar warga UMNO dan BN memilih untuk menjadi Jebat Derhaka? Apa kesudahannya jika mereka memilih untuk mengubati kekecewaan mereka yang parah secara emosi dan marah?
Lantaran itu, untuk menyelamatkan keadaan sedemikian rupa, bersalahkah dan berdosakah jika majoriti rakyat menggantungkan harapan agama, bangsa dan negara ini buat sementara waktu, ke pundak Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengkoreksikan segala kepincangan, ketempangan dan kekecewan yang wujud mutakhir ini secara total dan komprehensif? DAULAT TUANKU!
(Sumber KudaKepang)