Saturday, April 28, 2007

Akhirnya...Hujan Rahmat turun juga di Kelantan....

Alhamdulilah........

Syukur ke-Hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya menulis lagi di ruangan ini. Saya baru sampai semula di Kuala Lumpur selepas lima hari terada di Kelantan. Menurut rakyat Kelantan, kemarau yang melanda sejak sekian lama akhirnya telah berakhir bila pada hari Khamis 26/4/2007 yang lepas....Hujan lebat selama dua hari telah menghijaukan kembali tumbuhan yang telah kering sejak sekian lama. Syukur Ya Allah, kerana diKau telah menurunkan hujan rahmat kepada penduduk Kelantan....

Sunday, April 22, 2007

KELANTAN KINI.......

Assalammualaikum WBT..............
Salam perjuangan buat semua ahli-ahli kelab ini serta semua pengunjung blog ini. Isu yang akan saya ketengahkan kali ini ialah berkenaan dengan keadaan negeri Kelantan pada hari ini. Umum mengetahui bahawa, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang diperintah oleh PAS. Semenjak tahun 1990, negeri ini kekal makmur di bawah naungan YAB Tuan Guru Datuk Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, iaitu Menteri Besar Kelantan.
Pelbagai suasana dapat dilihat di Kelantan, semenjak PAS mula bertapak. Pertelingkahan antara UMNO dan PAS di dalam merebut kuasa pemerintahan di negeri ini, telah menjadikan rakyat di negeri ini semakin bijak di dalam memilih pemimpin mereka. Walaupun negeri ini dikatakan antara negeri yang miskin dan mundur (berdasarkan ulasan media massa ARUS PERDANA), namun kita warga Kelantan tetap berpuas hati dengan suasana di negeri Kelantan dewasa ini.
Walaupun tidak dinafikan, masih ada ruang yang perlu dibaiki dan beri penambahbaikan di dalam pembangunan negeri Kelantan, namun umum mengetahui rakyat Kelantan antara rakyat Malaysia yang hebat cara berpolitiknya. Mereka mampu merubah senario politik Kelantan pada bila-bila masa. Buktinya, pada Pilihanraya umum 2004, PAS hampir ditewaskan oleh UMNO.
Jika dilakukan "research" atau pendapat umum di Kelantan kini, mood rakyat masih memihak kepada PAS. Walaupun isu "Loging" dipalu oleh UMNO, namun dengan penerangan dan taklimat serta kredibiliti pemimpin PAS yang "Macho" di dalam menghadapi isu ini, membuatkan rakyat tidak mudah melatah. Walaupun diasak dengan pelbagai tuduhan, namun pimpinan negeri masih mampu menghadapinya dengan tenang dan bersahaja, inilah yang menjadikan pimpinan PAS Kelantan tampak hebat di mata rakyat Kelantan.
Dengan pembangunan yang pesat membangun di Kelantan dewasa ini, rakyat tidak nampak kenapa perlu bertukar angin pada masa ini. Isu-isu nasional masih banyak diperkatakan oleh orang kampung di kedai kopi.Isu rasuah pemimpin utama negara, isu jenayah di seluruh negara, masih menjadi topik rakyat di Kelantan.
Pada pengamatan saya, jika ditakdirkan pilihanraya umum yang saya jangkakan pada Oktober ini berlaku, PAS masih mampu bertahan di Kelantan. Ini bukan kerana PAS kuat, tapi kerana keutuhan UMNO Kelantan masih belum terserlah. Pelbagai isu-isu berkaitan pemimpin UMNO yang menjadi bahan perbualan rakyat Kelantan. Sikap YB-YB UMNO samada YB Parlimen atau ADUN, masih menjadi buah mulut rakyat. Bukannya YB-YB PAS semua tidak bermasalah atau tidak berisu, tapi masalah mereka tidak seKronik isu dan masalah YB-YB UMNO.
Saya bukanlah mahir di dalam politik, apa yang saya perkatakan adalah berdasarkan pemerhatian serta cakap-cakap saya bersama orang-orang Kelantan.

(bersambung..........)

"Rahmatan lil alamin"

Wednesday, April 18, 2007

6th PERDANA DISCOURSE SERIES"MEDIA AND NATIONAL DEVELOPMENT"

ASSALAMMUALAIKUM WBT

Hari ini 18/4/2007, saya telah mewakili Kelab Penyokong Muda Kelantan, hadir ke program di atas yang telah diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Ini merupakan siri ke-6 bagi program seumpama ini diadakan di sana.
Sebagaimana biasa, Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir telah memberikan ucaptama sempena program ini. Para hadirin yang begitu ramai sejak pagi lagi hadir bagi mengikuti ucapan YABhg Tun Dr Mahathir serta menunjukkan tanda sokongan padu serta penghargaan kepada beliau.
Turut sama menghadiri majlis tersebut ialah YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,Tun Haniff Omar (bekas Ketua Polis Negara),YBM Tengku Tan Seri Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen Gua Musang),Tan Seri Sanusi Joned, Datin Paduka Zaleha Ismail, Tengku Tan Seri Mahaleel (Bekas CEO Proton), serta beberapa nama besar lagi.
Di dalam ucaptama beliau, perkara yang disentuh ialah berkenaan dengan fungsi media di dalam memangkin kemajuan negara. Menurut beliau, dalam mewujudkan kestabilan di dalam negara, media tidak boleh diberikan kebebasan sepenuhnya. Menurut beliau, media tidak boleh disalahkan jika sesuatu isu diputarbelit, tetapi yang perlu disalahkan ialah orang media yang memutarbelitkan sesuatu isu.
Apa yang dapat saya rumuskan berkenaan dengan program ini, ia merupakan wadah bagi Tun Dr Mahathir yang banyak disekat ruang beliau untuk bersuara. Marilah kita semua warga Malaysia yang masih BERMARUAH DAN SEDAR, terus memberikan sokongan kepada YABhg Tun Dr Mahathir.

Monday, April 16, 2007

SELAMAT DATANG

ASSALAMMUALAIKUM WBT DAN SALAM SEJAHTERA


Pertama-tama saya ingin merakamkan ucapan syukur alhamdulilah ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya menyiapkan blog bagi KELAB PENYOKONG MUDA KELANTAN.Mungkin ramai tertanya-tanya bilakah wujudnya kelab seumpama ini di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya. Lahirnya kelab ini atas kesedaran beberapa orang muda yang mana saya salah seorang daripadanya.
Objektif utama penubuhan kelab ini adalah untuk mengumpul semua warga muda Kelantan yang telah mencapai umur 21 tahun ke atas. Kumpulan ini merupakan aset yang amat penting kerana mereka inilah yang akan menjadi pemimpin dimasa hadapan.
Adalah matlamat kami agar warga muda Kelantan yang menyertai kelab ini, merupakan mereka yang prihatin dengan perkembangan dan masa depan negeri Kelantan. Kami mahukan warga muda Kelantan yang tidak mudah "dibeli" dengan wang bagi menyertai apa-apa program dan tidak mudah "dibeli" undinya di dalam pilihanraya.
Setakat ini, keahlian kelab ini adalah seramai 1500 orang yang datang dari semua daerah di Kelantan. Kami di dalam proses mengembangkan lagi keahlian kelab ini kepada warga muda Kelantan yang berumur di antara 21 hingga 35 tahun. Biarlah kami bermula dengan bilangan yang kecil, namun kualiti ahli kami terjamin.
Kepada sesiapa yang inginkan maklumat lanjut berkenaan kelab ini, bolehlah menghubungi (ger1007@hotmail.com).

Sekian, terima kasih

"DARI KELANTAN, KERANA KELANTAN, UNTUK KELANTAN"