Kira-kira 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Rahman.Sambil melahirkan kekecewaannya, beliau berkata, daripada jumlah itu, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikesan hampir sejuta rakyat belum mendaftar, manakala di Johor Bharu membabitkan 170,000 individu.”Setakat ini, hanya 300,000 rakyat Malaysia daripada 4.9 juta tampil mendaftar selepas pelancaran Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih peringkat pusat pada 16 April lalu.”Kami kecewa kerana ramai lagi belum mendaftar. Kebanyakannya di bandar besar, sebaliknya kawasan luar bandar menunjukkan kesedaran tinggi untuk mendaftar sebagai pemilih.”Setiap tahun, seramai 250,000 pemilih baru bertambah dan jika ditambah jumlah mereka yang enggan mendaftar, jumlahnya akan menjadi lebih besar,” katanya selepas majlis konvokesyen ketiga Kumpulan Kolej Legenda, disini, semalam.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerja Raya dan Pembanguanan Usahawan Negeri Sembilan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran Bahagian Sekolah Menengah dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Ismail Lasim, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Legenda, Datuk Azizah Abdul Samad dan Presiden merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kolej Legenda, Raymond Ooi.Ismail yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut membacakan teks ucapan Mohamad dan menyampaikan diploma serta sijil kepada graduan.Abdul Rashid berkata, SPR melakukan pelbagai cara, termasuk memasuki institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta cara lain untuk menyedarkan mereka belum mendaftar.”Orang politik pun terbabit sama. Umno contohnya aktif melipat gandakan usaha untuk mendapatkan ramai ahlinya untuk menjalakan urusan pendaftar secara sepenuh masa,” katanya.