Monday, October 29, 2007

BPR jangan hanya tangkap ‘bilis’ – PAC

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) bukan setakat menangkap ‘bilis’ malah mengheret sama ke muka pengadilan ‘jerung-jerung’ yang terlibat dalam penyelewengan seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad turut menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat pembekal yang terlibat dalam kes salah urus dana awam itu.

‘‘Kita berasa sungguh kecewa dengan penyelewengan ini yang tidak seharusnya berlaku. Tindakan tegas perlu dikenakan sama kepada pembuat keputusan. Saya merasakan banyak lagi tangkapan boleh dibuat.

‘‘Adalah tidak wajar jika ‘bilis’ sahaja ditangkap memandangkan ‘jerung’ dilepaskan. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam urusan rundingan dan melakukan penyelewengan perlu didakwa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini hari ini mengenai Pengurusan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan.

Mengenai mesyuarat hari ini Shahrir berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan sebanyak RM226 juta pada tahun ini untuk memberi bantuan subsidi baja kepada 292,000 petani di seluruh negara.

Tambahnya, kementerian akan menjalankan satu kajian secara menyeluruh mengenai skim bantuan subsidi itu dan ia akan mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan.

‘‘Kajian ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun depan dan ia akan fokus kepada pelbagai isu seperti masalah penyakit, perparitan, benih dan bajak yang timbul dalam aktiviti penanaman padi,” ujarnya.