Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah hakim bukan sahaja perlu bebas daripada pengaruh luar, malah, daripada pengaruh hakim lain.
Baginda bertitah, tiada seorang hakim kanan boleh menentukan keputusan penghakiman hakim lain.
‘‘Badan kehakiman negara akan kehilangan nilai dan perkhidmatan kepada masyarakat apabila orang ramai tidak lagi yakin kepada keputusan yang dibuat apabila hakim tidak bebas.
‘‘Untuk menjadikan badan kehakiman diyakini orang ramai, hakim perlu saksama, integritinya tidak dipersoalkan, tidak berat sebelah dan tidak diragui,’’ titah baginda.
Baginda yang merupakan bekas Ketua Hakim bertitah merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia ke-14 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Sultan Azlan bertitah, keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman berdasarkan kepada empat kriteria iaitu kebebasan badan kehakiman, saksama, adil dan integriti.
Baginda bimbang dengan badan kehakiman yang dilanda pelbagai isu pada masa ini dan beberapa tahun lepas.
‘‘Sebagai orang yang pernah berada dalam badan kehakiman, ia amat menyedihkan beta apabila mendengar tuduhan terhadap hakim dan lunturnya keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.
‘‘Tiada sebab mengapa hakim yang mengecap jaminan memegang jawatan di bawah Perlembagaan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab dengan saksama, yakin dan cekap,’’ ujar baginda.
‘‘Minggu lepas beta membaca laporan undang-undang Malaysia di mana kes kecuaian perubatan yang membabitkan kematian seorang peguam mengambil masa 23 tahun untuk sampai ke Mahkamah Rayuan.
‘‘Terdapat juga laporan sesetengah hakim mengambil masa bertahun-tahun untuk menulis keputusan kehakiman bagi tertuduh yang telah dijatuhkan hukuman mati.
‘‘Pekara ini tidak boleh dibiarkan dalam sebuah negara yang membangun,’’ titah baginda.
Sultan Azlan bertitah, hakim perlu berhati-hati kerana badan kehakiman boleh hilang kebebasan kerana mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan dan individu berpengaruh.
Antaranya, Sultan Azlan mencadangkan ditubuhkan Mahkamah Perdagangan di Putrajaya seperti di London dengan hakim yang dilatih dalam bidang perdagangan dan komersial.
‘‘Penubuhan mahkamah itu akan menjadikan Malaysia pusat untuk penyelesaian perniagaan dan banyak negara telah menubuhkan mahkamah tersebut seperti di Dubai dan Qatar,’’ titah baginda.