Saturday, October 20, 2007

Kelantan perlukan penambahan infrastruktur dalam menjayakan ECER

Dalam menyaingi kekuatan pembangunan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Kelantan perlu pembangunan infrastruktur bagi membolehkan negeri itu mengimbangi kemajuan yang dicapai oleh Terengganu dan Pahang.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata kegagalan melaksanakan pembangunan infrastruktur di negeri itu boleh meluaskan lagi jurang pembangunan di antara Kelantan dengan dua negeri jiran itu.

"Untuk tujuan itu, Kelantan perlu memberi fokus dan mencari pendekatan bagi menjayakan beberapa program strategik yang mempunyai kelebihan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini Terengganu mempunyai kelebihan dari segi pelancongan, manakala Pahang dari segi pengilangan, justeru Kelantan tidak perlu memberi keutamaan terhadap dua sektor berkenaan.

Annuar berkata keutamaan awal untuk Kelantan dalam ECER ialah melengkapkan lagi lapangan terbang, rangkaian jalan utama dan beberapa kemudahan asas lain bagi membolehkan pelabur dan pihak swasta memainkan peranan masing-masing.

Selain itu, beliau juga berkata, badan khusus untuk menyelaras pelaksanaan ECER sudah dibentuk dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala menteri-menteri besar pula menjadi ahlinya.

"Ia mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif yang bertindak selaku sekretariat dan bertanggungjawab secara langsung terhadap ECER," katanya.

Beliau berkata, penubuhannya bagaimanapun tidak mengubah bidang kuasa yang sedia ada pada sesebuah kerajaan negeri dari sudut perundangan.

Misalnya, kata pemutus dalam kelulusan penggunaan tanah umpamanya masih lagi kekal dalam bidang kuasa keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri, katanya.

"Saya berharap kesemua kerajaan negeri dapat memberikan persefahaman dan kerjasama yang tidak berbelah bagi untuk menjayakan pelaksanaan program besar ini," katanya.